(Perintah Khidmat Masyarakat)-Jalani kerja kebajikan — Hukuman pilihan pesalah juvana selain penjara, denda

Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana pesalah juvana yang melakukan kesalahan jenayah ringan akan menjalani hukuman kerja-kerja kebajikan.

Kerja-kerja itu ialah seperti mengemas, mengecat bangunan pusat kebajikan, membersih dan membasuh tandas di mana-mana 30 pusat kebajikan dan rumah orang tua di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Konsep hukuman baru itu iaitu Perintah Khidmat Masyarakat adalah pilihan kepada hukuman penjara kepada pesalah juvana berusia 18 hingga 21 tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelaksanaan hukuman baru itu berdasarkan pindaan Seksyen 293 Kanun Acara Jenayah yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai tahun lalu.

‘‘Konsep hukuman baru ini diwujudkan bagi memberi pilihan dan peluang kepada remaja terbabit membetulkan kesilapan mereka, penjara bukan penyelesaian kepada kesalahan yang mereka lakukan.

‘‘Bagaimanapun, terpulang kepada mahkamah untuk menetapkan hukuman sesuai kepada mereka kerana ini hanya hukuman alternatif selain penjara dan denda kepada mana-mana pesalah juvana,’’ katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat yang baru diperkenalkan oleh kerajaan ini berdasarkan model dari Singapura yang terkenal dengan ketegasan dalam menangani gejala sosial di kalangan remaja negara itu.

Cadangan mewujudkan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat disebut pertama kalinya di Parlimen pada 13 Julai tahun lalu oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad yang menekankan hukuman itu hanya sebagai pilihan bagi memulihkan pesalah muda selain hukuman penjara.

Setakat ini di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 memperuntukkan remaja berusia bawah 18 tahun yang didapati bersalah oleh Mahkamah Juvana kerana melakukan jenayah akan dihantar ke pusat pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, Melaka.

Selain itu, kata Shahrizat, di bawah hukuman Perintah Khidmat Masyarakat, pesalah juvana dikehendaki melakukan kerja-kerja kebajikan tidak melebihi 240 jam di mana-mana institusi di JKM.

‘‘Sebagai contoh, pesalah juvana ini akan diarah datang ke mana-mana pusat kebajikan yang ditetapkan oleh mahkamah sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan seperti mencuci tandas atau menjaga orang-orang tua,’’ katanya.

Menurutnya, kementerian diberi tanggungjawab penuh melaksanakan hukuman tersebut dan bagi tujuan itu, bahagian Perintah Khidmat Masyarakat diwujudkan di ibu pejabat JKM bagi melancarkan operasi pelaksanaan.

‘‘Kementerian merasakan pesalah muda ini perlu diberi pilihan untuk membetulkan kesilapan melalui kerja-kerja kebajikan dan bantuan kaunseling bagi menginsafkan diri mereka.

‘‘Sebagai permulaan, pelaksanaan hukuman ini akan dilaksana di bawah organisasi JKM sahaja, kita bercadang memperluaskannya di agensi kerajaan lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), sekolah dan hospital,’’ ujarnya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: