Perintah Khidmat Masyarakat-JKM-(CSO)

KUALA LUMPUR: Perintah Khidmat Masyarakat dijadikan sebagai hukuman pilihan terhadap semua kesalahan membabitkan pesalah berumur antara 18 hingga 21 tahun.

Selain itu, orang awam boleh membuat laporan polis di mana-mana saja termasuk menerusi anggota polis yang sedang meronda. Polis pula perlu menyatakan status penyiasatan dalam tempoh empat minggu selepas laporan dibuat.

Ini antara beberapa peruntukan baru dalam pindaan Kanun Acara Jenayah yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (gambar) di Dewan Rakyat, semalam.

Mengikut pindaan Seksyen 293, tempoh khidmat masyarakat yang boleh dikenakan ialah tidak melebihi 240 jam dan pelaksanaan perintah itu dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Radzi berkata, cadangan perintah itu dikemukakan sebagai satu pilihan bagi pemulihan pesalah muda, selain hukuman penjara.

“Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat yang dicadangkan itu berdasarkan model dari Singapura,” katanya.

Beliau berkata, subseksyen 107 (1) pula dipinda bagi memudahkan orang awam membuat laporan polis berikutan banyak aduan diterima mengenai kesukaran atau sikap tidak acuh polis menerima laporan.

Bagaimanapun, syor supaya laporan polis dibenarkan dibuat melalui e-mel, laman web, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon tidak dapat diterima kerana pengadu perlu menandatangani laporan itu.

“Tatacara ini bertujuan mengelakkan orang awam membuat laporan palsu yang juga satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Radzi berkata, pindaan kanun itu turut memasukkan seksyen baru 107A bagi membenarkan orang awam yang membuat laporan, meminta polis menyatakan status penyiasatan laporan berkenaan.

“Pemberi maklumat boleh melaporkan kepada pendakwa raya jika polis gagal memberi laporan mengenai kedudukan penyiasatan itu,” katanya.

Polis dan agensi penguat kuasa lain juga hanya boleh melakukan empat jenis pemeriksaan tubuh terhadap tahanan, iaitu secara menepuk, menanggalkan pakaian, intim dan intrusif berikutan pengenalan seksyen baru 20A.

“Tatacara pemeriksaan tubuh itu akan dimasukkan sebagai Jadual kepada kanun itu dan ia boleh dipinda oleh menteri bertanggungjawab berhubung hal ehwal keselamatan melalui satu perintah,” katanya.

Radzi berkata, pengenalan Seksyen 28A pula mewajibkan polis memberi kemudahan kepada seseorang yang ditangkap untuk menghubungi peguam dan ahli keluarga dalam tempoh 24 jam serta memaklumkan sebab tangkapan dibuat.

Seksyen 117 juga dipinda bertujuan memendekkan tempoh reman kepada empat hari untuk permohonan pertama dan tidak melebihi tiga hari bagi permohonan kedua bagi kesalahan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun.

Bagi kesalahan yang membawa hukuman mati atau hukuman penjara 14 tahun atau lebih, majistret diberi kuasa membenarkan reman tidak melebihi tujuh hari bagi permohonan pertama dan kedua.

“Bagi mengukuhkan hak orang kena tangkap, mereka diberi peluang untuk diwakili seorang peguam semasa prosiding reman bagi memastikan orang kena tangkap tidak direman selanjutnya tanpa alasan yang kukuh dan munasabah,” katanya.

Beliau berkata, seksyen 295(1A) pula mengkehendaki mahkamah mengarahkan pesalah seksual di bawah seksyen 376, 377C atau 377E menjalani pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Seksyen baru 295A juga diperkenalkan bertujuan mengadakan peruntukan khusus bagi membolehkan mahkamah membuat perintah kaunseling pemulihan sebagai tambahan kepada perintah di bawah subseksyen 295(1A).

“Perintah itu hanya boleh dikenakan kepada pesalah yang dihukum di bawah seksyen 376, 377C, 377CA atau 377E Kanun Keseksaan,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN, 14 JULAI 2006

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: